Thursday 24 January 2013

NGO harap usah prasangka lawatan ke Gaza

Kuala Lumpur: Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membela nasib rakyat Palestin, berharap tiada prasangka buruk berbaur politik terhadap kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Gaza.

Mereka sependapat inisiatif kemanusiaan Perdana Menteri tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya disokong dalam usaha membantu rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Pengerusi Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), Tan Sri Norian Mai, berkata keputusan Perdana Menteri mengunjungi wilayah bergolak adalah amat sesuai pada masanya.

“Kita melihatnya sebagai sokongan kepada NGO tempatan yang banyak memberi perhatian kepada penderitaan masyarakat Gaza selama ini.

“Kunjungan Perdana Menteri adalah atas dasar kemanusiaan dan sesama umat Islam seperti dijelaskan beliau sendiri. Kita memberi sokongan kepada masyarakat tertindas. Justeru, kita harus menghargai dan menghormati (lawatan Najib) kerana sokongan diberi NGO selama ini pun bukan berdasarkan politik,” katanya kepada BH, semalam.

Kecam cemuhan

Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi, melalui Facebooknya, kelmarin, mencemuh lawatan Najib ke Gaza.
Bagaimanapun, Nasrudin dikecam pengikut Facebooknya sendiri, termasuk mempersoalkan kenapa beliau yang dilabel ‘ustaz’ sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian, selain yang menyifatkannya sebagai iri hati.

Ketua Jabatan Maklumat dan Media Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Mohammad Alherbawi, berkata lawatan Najib itu membuktikan keikhlasan kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong perjuangan Palestin.

“Kami percaya Najib ikhlas dan langsung tidak meraguinya. Kerajaan dan rakyat Malaysia banyak memberi sokongan kepada rakyat kami serta sentiasa memperjuangkan isu penderitaan rakyat Palestin di platform antarabangsa,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Salam Malaysia, Md Ghani Ibrahim, menyifatkan usaha Perdana Menteri amat membanggakan, malah kunjungan itu membuka ruang lebih luas untuk NGO negara ini memasuki Gaza dan memberi bantuan kepada rakyat Palestin.

Pengerusi Life Line 4 Gaza (LL4G), Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata berdasarkan pengalaman peribadinya menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, masyarakat Palestin sentiasa ternanti-nantikan lawatan kepemimpinan tertinggi negara ini

William dibawa ke Hospital

PETALING JAYA: Keluarga kepada William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak 16 Januari lalu, tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, sebentar tadi.

Mereka tiba jam 11 pagi dipercayai bagi membantu mengenal pasti identiti mayat yang ditemui di jeti Sungai Sireh, lewat petang semalam.
Ibu bapa William kemudian kelihatan dibawa ke milik mayat hospital itu.

BL1M membantu BELIA kurang mampu yg memerlukan lesen

Borang Permohonan BL1M Bantuan Lesen 1Malaysia Online

Borang Permohonan Dan Pendaftaran BL1M Bantuan Lesen 1 Malaysia. Hanya lesen motosikal sahaja diperuntukkan dibawah program ini. Skim ini bertujuan untuk membantu warga Malaysia khususnya golongan muda untuk memiliki lesen motosikal yang sah selain memberi kesedaran mengenai undang-undang jalan raya dan membina etika pemanduan berhemah.

Objektif  BL1M

Menggalakkan pemilikan lesen pemanduan yang SAH.
Membantu BELIA yang amat memerlukan lesen tetapi kurang mampu.
Menggalakkan pendidikan tentang undang-undang jalan raya serta membina etika pemanduan berhemat.
Merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai kadar kemalangan jalan raya yang minimum.
Memberi lesen kepada penunggang motosikal dengan kadar murah diakhir kursus pemanduan mereka.
Syarat Kelayakan

Semua warganegara MALAYSIA berumur di antara 17 hingga 40 tahun pada atau selepas 01 Januari 2013
Tidak pernah memiliki sebarang jenis kelas lesen memandu
Hanya sah untuk lesen Kelas B2 sahaja
Sihat tubuh badan
Menepati semua kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Penganjur dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ)
Dikenakan yuran sebanyak RM199.00 (dibayar semasa program pendaftaran dijalankan secara Money Order pada ‘My E.G. Services Berhad’)
Sila bawa kad pengenalan asal semasa proses pendaftaran.
Menduduki semua ujian yang ditetapkan oleh pihak JPJ
Cara Permohonan BL1M Bantuan Lesen 1Malaysia

1. Untuk membuat permohonan, sila dapatkan borang dengan klik pada laman dibawah:

http://www.bl1m.my/daftaronline.html  (Borang BL1M Online) atau
http://www.bl1m.my/
Nota: Anda kini boleh akses borang online di http://www.myeg.com.my/  (Laman Alternatif Pendaftaran BL1M Online)

2. Pemohon berdaftar akan menikmati yuran diskaun untuk lesen motosikal kelas B2 yang mana mereka hanya perlu membayar sebanyak RM199.00.

3. Bantuan adalah penuh dan melibatkan ujian teori undang-undang secara komputer, latihan,ujian praktikal dan sebagainya.

Sumber: Borang Permohonan BL1M Bantuan Lesen 1Malaysia Online | melvister.com

Wednesday 23 January 2013

Agong bertitah jika pendekatan wasatiyyah dihayati, perpaduan dapat dicapai

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah sekiranya pendekatan wasatiyyah dapat dihayati, maka perpaduan boleh dicapai serta kecemerlangan akan menjadi kenyataan.

Baginda juga percaya rakyat di negara ini amat memahami dan menyedari kepentingan perpaduan dalam sesebuah masyarakat dan negara.
"Perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun 1434H di sini hari ini.

Turut berangkat hadir pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Sambutan bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu juga turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seri Paduka baginda turut menyeru rakyat agar bersama-sama mengekal dan memperkukuhkan perpaduan untuk membina kekuatan bagi memajukan agama, bangsa dan negara.

"Marilah kita sama-sama menjayakan setiap usaha pembaharuan dan perubahan dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad S.A.W iaitu dengan penuh kesederhanaan dan berimbang," titah baginda.
Baginda bertitah sirah Rasulullah juga menunjukkan bahawa kepelbagaian dalam masyarakat sama ada dari segi keturunan, pegangan agama, budaya dan bahasa, bukanlah satu masalah dan penghalang kepada perpaduan asalkan kesederhanaan atau pun pendekatan wasatiyyah itu dijadikan amalan dalam kehidupan.

Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada bekas Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak dan bekas Mufti Negeri Sarawak Datuk Seri Anis Abot. - BERNAMA


1.14 juta belia sertai skuad muda KDN





SEREMBAN - Kira-kira 1.14 juta anak muda menyertai Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini dengan 54,864 anggota di Negeri Sembilan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.
Katanya, menerusi sambutan yang menggalakkan itu, kementerian yakin skuad terbabit dapat menjadi pendorong kepada golongan sukarelawan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Skuad ini merupakan pasukan sukarelawan di bawah KDN seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis), katanya kepada pemberita selepas pelancaran Perhimpunan Gelombang Kedamaian 1KDN peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini. - BERNAMA

Tuesday 22 January 2013

KEMANA HILANGNYA WILLIAM?

SHAH ALAM,21/1/2013 -: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak berumur enam tahun, William Yau Zhen Zhong masih diklasifikasikan sebagai kes ‘orang hilang’ dan bukan culik, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli.

Beliau berkata ini kerana tiada sebarang wang tebusan diminta daripada keluarga mangsa sehingga kini.

Katanya, polis percaya ada individu telah menemui Zhen Zhong yang dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya Rabu lepas, sebelum menyembunyikan kanak-kanak itu.

“Polis juga menerima banyak panggilan daripada orang awam berhubung kes ini dan tiga panggilan yang diterima menyatakan mereka ternampak kanak-kanak tersebut tetapi selepas siasatan dijalankan ia adalah tidak benar.

“Selain mengedarkan gambar mangsa, sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak dikenali sebagai talian NUR Alert sudah diaktifkan,” katanya kepada pemberita di rumah keluarga kanak-kanak itu di Seksyen 25, di sini, Ahad.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengadakan lawatan ke rumah keluarga mangsa.

Pada Rabu lepas, anak kedua daripada tiga beradik itu dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights dekat sini apabila gagal ditemui selepas dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ.

Shahrizat berkata beliau akan membantu keluarga mangsa dan pihak polis untuk mengesan kanak-kanak itu dengan mengedarkan gambar Zhen Zhong melalui 22,000 cawangan wanita Barisan Nasional di seluruh negara.

Selain itu, katanya Skuad Sayang Wanita Umno di seluruh negara juga akan dikerah dalam misi mencari semula kanak-kanak itu.

Sementara itu, bapa mangsa, Yau Kok Kang, 32, berharap mana-mana individu yang menyimpan serta menjaga Zhen Zhong supaya memulangkan semula kanak-kanak itu ke pangkuan keluarga atau mana-mana lokasi selamat dengan segera.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta menghubungi polis di talian 03-56319800, 012-2197133 atau Kok Kang di 016-9691616.-BERNAMA